KUCHING 18 Mac — Mulai Julai ini, penyedia perkhidmatan aplikasi dan kandungan tidak akan terlepas jika mereka didapati bersalah menyalahgunakan perkhidmatan pesanan ringkas (SMS).
Tindakan undang-undang akan diambil ke atas syarikat-syarikat sebaik sahaja Akta (Pindaan) Komunikasi dan Multimedia dikuatkuasakan, kata pengarah Jabatan Pematuhan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Sharizan Abdul Aziz.
"Pada masa ini, syarikat-syarikat kecil adalah pesalah utama,” kata beliau kepada pemberita selepas membentangkan kertas mengenai “Peranan MCMC dalam Melindungi Hak Pengguna” di seminar “Hak Pengguna dalam Perkhidmatan Komunikasi dan Multimedia” anjuran MCMC di sini hari ini.
Beliau berkata hukuman yang dikenakan yang termasuklah penjara sepatutnya menjadi pencegah kepada syarikat-syarikat kecil yang kemungkinan berhadapan dengan penutupan perniagaan sementara syarikat penyenaraian awam mungkin kehilangan keyakinan di kalangan pemegang saham dan pelabur mereka.
Menurut maklumat terkini Forum Pengguna Malaysia (CFM), SMS yang tidak dilanggan menguasai 69 peratus daripada sejumlah 97 aduan yang diterima berhubung penyalahgunaan SMS pada tahun 2009, diikuti dengan penipuan SMS (13 peratus), dan SMS tidak diundang serta SMS promosi (tujuh peratus).
Jumlah purata bulanan kes-kes sedemikian telah mencatatkan peningkatan 100 peratus, daripada lapan kes sebulan tahun lepas kepada 16 kes sebulan tahun ini.
Pada masa ini, CFM telah memantau SMS tidak dilanggan menawarkan muat turun video lucah, mempromosikan ubat kuat seks lelaki, makluman memenangi sesuatu serta promosi menarik muat turun masa berbual dengan menawarkan kredit masa berbual serta SMS yang bersifat samar-sama yang mempromosikan perkhidmatan muat turun dengan caj tersembunyi seperti mana kebanyakan SMS biasa yang tidak diundang.
CFM menerima sejumlah 1,331 aduan tahun lepas seluruh negara.
"Jadilah pengguna yang bermaklumat, jangan sewenang-wenangnya terima,” kata Sharizan sambil menambah yang pelanggan telefon mudah alih berjumlah 30.3 juta seluruh negara pada akhir tahun lepas dengan kadar penembusan 106.2 peratus.
Beliau berkata MCMC masih perlu mengendalikan lebih banyak seminar dan pameran kesedaran hak pengguna terutamanya di Sarawak yang mencatatkan hanya 20 aduan tahun lepas, sekali gus mencerminkan kekurangan maklumat bagaimana untuk menyalurkan rungutan mereka.
Secara keseluruhan, penyedia perkhidmatan menyelesaikan 87 peratus aduan seluruh negara tahun lepas terutamanya berhubung perkhidmatan yagn tidak memuaskan termasuklah hubungan internet yang perlahan dan caj bil yang tidak tepat. - Bernama
Sumber dari Utusan Malaysia Online

























0 comments:
Post a Comment